Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Badan-badan Pengawas Sekolah iaitu Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah Dan Pengawas SPBT Sekolah telah diadakan di Bilik Guru Besar SKDTK pada 03 Mei 2021 (Isnin). Majlis telah disempurnakan oleh Guru Besar, En. Mohd Isha bin Bakar.
Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS), Pengawas SPBT adalah unit-unit yang terdiri daripada murid-murid sekolah. Badan ini akan membantu menjalankan pelbagai aktiviti untuk mencapai matlamat dan objektif sekolah.
Mereka yang dilantik akan membantu guru-guru melicinkan lagi operasi pemantauan disiplin sekolah, pengagihan buku teks sekolah dan pusat sumber sekolah. Selain itu, mereka juga akan membantu melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan bidang tugas mereka serta menjalankan aktiviti membantu rakan mereka dalam setiap program yang dijalankan.
Matlamat Majlis Penyampaian Watikah Pengawas ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin cilik yang sama-sama bertanggungjawab menjaga disiplin dan sahsiah dalam kalangan murid-murid SK Datuk Tambichik Karim. Objektifnya adalah untuk melahirkan pemimpin kecil yang bertanggungjawab terhadap tugas-tugas yang diamanahkan. Badan-badan pengawas juga memberi contoh dan teladan kepada murid-murid serta mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan mereka dan pihak sekolah mengharapkan agar anak-anak didik SK Datuk Tambichik Karim dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa pada masa akan datang.